Tuesday 27 January 2015

Kisah Seorang Pembunuh 99 nyawa yang akhirnya sujud kepada tuhan Nya.

Setiap yang bergelar manusia pasti pernah melakukan kesilapan dan adalah menjadi tugas kita supaya selalu bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Bercerita tentang taubat ini, terdapat sebuah kisah mengenai seorang lelaki daripada kalangan umat terdahulu yang telah membunuh seramai 99 (sembilan puluh sembilan) orang manusia.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., bahawa Nabiyullah SAW bersabda:

“Sebelum zaman kamu ini, pernah ada seorang lelaki yang telah membunuh seramai 99 (sembilan puluh Sembilan) orang manusia, kemudian dia bertanyakan mengenai perkara itu kepada seorang yang paling alim pada zaman itu. Selepas ditunjukkan kepadanya seorang rahib (pendeta). Dia pun berjumpa rahib tersebut.

Dia memberitahu: “Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima?”

Rahib tersebut menjawab: “Tidak!”

Mendengar jawapan itu, dia tidak puas hati, terus naik marah lalu membunuh rahib tersebut dan genaplah jumlah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya.

Namun niatnya ingin bertaubat tetap teguh. Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim pada zaman itu. Kemudian lalu ditunjukkan kepadanya seorang yang alim, dia terus berjumpa orang alim tersebut dan berkata: “Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia. Adakah taubatku masih diterima?”

Orang alim tersebut menjawab: “Ya! Siapakah yang menghalang seseorang dari bertaubat?”

“Sekarang, pergilah kamu ke tempat ini dan ini, kerana di sana terdapat ramai orang yang beribadah kepada Allah. Kamu beribadatlah kepada Allah bersama mereka dan jangan pulang ke tempat kamu kerana tempatmu itu adalah tempat yang teruk.” sambung orang alim itu lagi.

Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika berada di pertengahan jalan, tiba-tiba maut datang menjemputnya dan dia pun meninggal dunia.

Melihat kejadian itu, menyebabkan Malaikat pembawa rahmat dan Malaikat Azab (malaikat yang ditugaskan menyeksa) bertelingkah mengenainya.

Malaikat Rahmat berkata: “Dia datang dalam keadaan sudah bertaubat dan menghadapkan hatinya secara ikhlas kepada Allah.”

Manakala Malaikat Azab pula berkata: “Benar, namun dia tidak pernah melakukan kebaikan.”

Lalu datanglah malaikat lain yang menyerupakan dirinya dalam bentuk manusia. Lalu dia menjadikan dirinya sebagai pemisah antara malaikat-malaikat yang berselisih tadi, iaitu dijadikan hakim pemutusnya untuk mengadili pertengkaran mereka dan untuk menetapkan mana yang betul.

Malaikat itu berkata, “Kalau begitu, ukurlah jarak kamu. Jarak di antara dua tempat, dari sini ke tempat yang ditinggalkan lelaki ini dan ke tempat yang hendak ditujunya; ke tempat mana yang lebih dekat, bererti dialah yang berhak ke atas orang ini.”

Kedua-dua malaikat tersebut lalu sama-sama mengukur dan setelah di ukur, ternyata mereka dapati kedudukan mayat lelaki tersebut lebih hampir dengan tempat tujuannya untuk melaksanakan taubat iaitu tempat yang dihuni oleh orang-orang soleh, beerti ia termasuk di kalangan mereka. Maka akhirnya, lelaki tersebut berhak diambil oleh Malaikat Rahmat.” 
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)
.
.
Dalam sebuah riwayat yang sahih lain disebutkan: “Orang tersebut lebih dekat hanya sejengkal saja pada kawasan yang baik itu, iaitu yang hendak didatangi, maka dijadikanlah dia termasuk golongan penduduknya.”

Sebuah riwayat dalam kitab sahih juga menyebut;
 “Allah Ta’ala lalu mewahyukan kepada tanah yang ini (tempat asalnya) supaya engkau menjauhinya dan kepada tanah yang ini (tempat yang hendak dituju) supaya engkau mendekatinya (maksudnya supaya tanah asalnya itu memanjang sehingga kalau diukur akan menjadi jauh, sementara tanah yang dituju itu menyusut sehingga kalau diukur menjadi dekat jaraknya).” Kemudian firmanNya: “Ukurlah antara keduanya.”Malaikat-malaikat itu mendapatkannya bahawa kepada yang ini (yang dituju) adalah lebih dekat hanya sejengkal saja jaraknya. Maka orang itupun diampunilah dosa-dosanya.”

Dalam riwayat lain lagi disebutkan: “Orang tersebut bergerak (amat susah payah kerana hendak mati) dengan dadanya ke arah tempat yang dituju itu.”
.
.
Keterangan:
Huraian hadis ini menjelaskan mengenai betapa pentingnya memiliki ilmu pengetahuan dalam selok-belok agama, apabila dibandingkan dengan terus beribadah atau menghukum tanpa mengetahui bagaimana yang sepatutnya dilakukan. Juga menjelaskan keutamaan ‘uzlah atau mengasingkan diri dalam keadaan masyarakat yang boleh dikatakan rosak binasa dan kemaksiatan serta kemungkaran muncul di mana-mana, hatta dalam keluarga sendiri pun.

Tidak diragukan lagi bahawa pintu taubat sentiasa terbuka kepada sesiapa saja yang ingin bertaubat selagi masih belum tiba kiamat. Tidak kira sebesar mana dosa kita, walaupun telah ramai orang yang menjadi mangsa; Seperti taubat pembunuh, jika dia benar-benar ikhlas bertaubat kepada Allah dengan ‘Taubat Nasuha’, taubatnya tetap akan diterima.

“Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum matahari terbit dari arah barat, nescaya Allah akan menerima taubatnya.”   (Hadis Riwayat Muslim)


Thabit bin Qurrah berkata: “Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan."

Kisah Seorang Khalifah yang Zuhud "Khalifah Umar Abdul Aziz"

Anda mungkin pernah mendengar kisah Saidina Umar al-Khattab dengan seorang anak penjual susu. Seorang anak perempuan yang membantah dan menegur ibunya kerana cuba mencampurkan air ke dalam susu. Kata-katanya mendiamkan bondanya. Tahukah anda siapakah dari keturunan si anak ini merupakan seorang khalifah yang hebat? Khalifah tersebut ialah Umar bin Abdul Aziz yang tersohor itu. Iaitu cucu kepada wanita tersebut, cicit kepada Saidina Umar al-Khattab. Kisahnya begini. Pada satu malam Saidina Umar al-Khattab bersama khadamnya memantau keadaan rakyatnya di pinggir Madinah sebagaimana rutin hidupnya sebagai Amirul Mukminin yang prihatin. Pada ketika itu Umar telah mengistiharkan larangan mencampurkan air ke dalam susu kerana ia merupakan satu jenis penipuan dalam jualan. Akhirnya Umar duduk berehat dengan bersandar di dinding sebuah rumah. Tiba-tiba beliau terdengar dua beranak berdialog: Berkata seorang perempuan penjual susu kepada anak gadisnya, "Campurlah susu ini dengan air supaya kita peroleh keuntungan berganda hasil jualannya nanti!", katanya. Serta merta si anak memprotes: "Apakah ibu tidak takut kalau hal ini diketahui khalifah Umar bin Khattab? "Umar tidak akan tahu", jawab ibunya spontan. Dengan penuh keyakinan gadis itu pun menjawab, "Walau pun Umar tidak mengetahuinya, apakah bererti Tuhan yang menciptakan Umar juga tidak mengetahuinya?”. Si ibu terperanjat lalu terdiam seribu bahasa dengan kata-kata anaknya. Lalu bergegaslah Umar meninggalkan rumah itu sambil memberikan arahan kepada pembantunya, "Tandalah rumah ini!". Keesokan harinya ia segera memanggil Ashim, salah seorang anak lelakinya dan bertanya: "Mahukah kamu aku nikahkan dengan seseorang yang sangat baik agamanya?". Tanpa fikir panjang lagi Ashim pun menjawab dengan penuh keyakinan, "Ya" .[ Sirah wa Manaqib Umar bin Abdul Aziz, karya Ibnu al-Jauzi] Begitulah kisah seorang anak yang solehah telah memikat hati Amirul Mukminin untuk dijadikan menantu. Perkahwinan mereka berdua telah melahirkan seorang anak perempuan yang bernama Laila. Laila telah berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan seorang Gabenor Mesir pada pemerintahan khalifah Abdul Malik bin Marwan. Perkahwinan mereka berdua melahirkan Umar bin Abdul Aziz Amirul Mukminin yang kelima seorang khalifah yang bertakwa, wara’ dan adil. Begitulah sunnatullah. Keturunan yang baik akan melahirkan anak yang baik.

Kisah Si Anak Durhaka "Si Tanggang"



Si Tanggang merupakan seorang anak yang derhaka kepada ibu bapanya. Pada suatu hari, Si Tanggang telah ditangkap Nakhoda kapal dan dipaksa untuk melakukan kerja-kerja di atas kapal. Kerajinan Si Tanggang melakukan kerja-kerja kapal telah menambat hati nakhoda kapal lalu melantiknya menjadi nakhoda yang baru. Si Tanggang juga telah dikahwinkan dengan anak nakhoda yang cantik. Pada suatu hari, awan menjadi gelap menandakan ribut taufan akan melanda. Nakhoda Tanggang pun menghalakan kapalnya memasuki muara sungai di kampung ibu bapanya. Ibu dan bapanya terdengar khabar bahawa anak mereka telah kembali lalu berjumpa dengannya. Nakhoda Tanggang berasa malu untuk mengaku kedua orang tua itu sebagai ibu bapanya kerana kelihatan begitu daif. Ibunya berasa sangat pilu dengan sikap angkuh Si Tanggang itu, lalu berdoa kepada Tuhan. Tiba-tiba petir berdentum, angin bertiup kencang dan ombak yang kuat memecahkan kapal itu. Akhirnya, Nakhoda Tanggang, isterinya serta semua anak kapalnya berubah menjadi batu.



Pengajaran yang dapat kita perolehi daripada cerita ini ialah kita mestilah sentiasa mengenang jasa kedua ibu bapa kita dan tidak mengkhianati kepercayaan mereka.


 
 INFO LANJUT:-
  • Si Tanggang (atau dieja "Si Tenggang") ialah sebuah cerita dongeng masyarakat Melayu yang mengisahkan kehidupan seorang pemuda bernama Si Tanggang yang menderhakai ibunya,dan akhirnya bertukar menjadi batu kerana disumpah oleh si ibu dengan makbul Tuhan.
  • Cerita Lagenda Melayu ini sangat terkenal sehingga ada beberapa lokasi di Tanah Melayu dikaitkan dengannya, termasuk Batu Caves di pinggir bandaraya Kuala Lumpur yang sekarang terkenal dengan kuil Hindu serta patung dewa setinggi bangunan 14 tingkat di hadapannya.
  • Wilayah Indonesia juga memiliki cerita yang serupa, cuma nama wataknya berbeza iaitu "Malim Kundang". Kesannya dikatakan masih ada di Sumatera, hingga kini masih kelihatan batu-batan berbentuk sauh, tali kapal, manusia dan sebagainya.
  • Tetapi berapa ramai yang tahu cerita anak derhaka disumpah jadi batu ini juga dikatakan berlaku di Muar, lebih tepat lagi di Bukit Treh? satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5 km daripada pusat bandar kedua terbesar di Johor itu?


1. Belakang kapal yang telah bertukar jadi batu.
2. Tali-tali kapal jelas kelihatan.
3. Tempayan kapal.
4. Sepertinya depan kapal bertukar jadi batu.



  • Ia digunakan dalam buku teks sekitar 1960-an berdasarkan karya Abdul Samad Ahmad 1955. Dongeng ini dikenali juga dengan beberapa nama lain, antaranya Malin Kundang atau Malim Kundang (Minangkabau) dan Nakhoda Manis (Brunei). Masing-masing merupakan versi yang sedikit berbeza, tetapi memiliki isi cerita yang sama.
  • Dongeng Si Tanggang disampaikan secara lisan. Oleh itu, ia mempunyai banyak versi yang berbeza mengikut tempat di Nusantara.Dalam versi asal yang disampaikan oleh orang Minangkabau, Si Tanggang dikenali dengan nama Malin Kundang.
  • Beberapa tempat di Kepulauan Melayu dikaitkan dengan dongeng Si Tanggang.Antaranya ialah Jong Batu di Brunei, Batu Caves di Malaysia, dan Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat.Tempat-tempat ini, menurut kepercayaan masyarakat setempat,mengandungi bekas sejarah Si Tenggang menjadi batu.
  Dalam versi Brunei, Si Tanggang dikenali dengan nama Nakhoda Manis dan ibunya bernama Dang Ambon, manakala bapanya sudah meninggal dunia ketika dia masih kecil.Mereka tinggal berdekatan dengan Sungai Brunei.Nakhoda Manis merantau di sebuah pekan yang bernama Sulok.Adalah diperkatakan bahawa batu yang ditukarkan daripada seluruh kapal Nakhoda Manis berserta isinya adalah Jong Batu di Sungai Brunei.



Si Tanggang merupakan antara dongeng yang paling popular dalam kalangan orang Melayu. Ia diceritakan melalui lisan secara turun-temurun.Kanak-kanak akan didedahkan dengan cerita ini. Ini kerana dongeng ini mengandungi pengajaran penting yang merupakan salah satu pantang larang dalam adat Melayu: "JANGAN DERHAKA KEPADA ORANG TUA". 

Pengajaran ini juga selaras dengan ajaran Islam yang menghormati kedudukan ibu bapa.Kanak-kanak yang tidak mahu menurut suruhan ibu atau bapa akan cepat-cepat diusik dengan panggilan "Si Tanggang" untuk mengingatinya mengenai kisah tersebut.